~ Segala yang Tertulis Dalam Blog Ini Adalah "Transparent Diary" & Hak Peribadi ~

~ Andai Kemewahan Dunia melalaikanku, ku lebih rela hidup kedaifan, tapi kaya dengan Rahmat dan CintaMU, Andai Kenikmatan Dunia menghanyutkanku, ku lebih rela hidup bersendirian, menjadi Hamba AbadiMU. Sesungguhnya nikmat dunia hanya sementara, kerana akhirnya kepadaMU juga kami kembali. Yang tinggal hanya jasad ditelan tanah bumi. Sebagai insan biasa mohon petunjuk pada Yang Maha Kuasa, Maha Pencipta Alam Semesta, agar sentiasa lurus iman dan aQidah ku, teguh agama dan peganganku ~FBK






Kita hanya insan biasa yang tak terlepas dari menerima ujian dariNYA, sama ada besar atau kecil masalah itu. Tetapi kadang-kala bila berhadapan dengan masalah, tiada tempat untukku meluahkannya melainkan berdoalah ubat yang paling berkesan bagiku untuk meringgan segala yang terbeban difikiranku selain bertawakal dan redha atas ketentuanNya sebelum mencari jalan penyelesaiannya. Datang dan sujud meminta kepada yang Maha Ehsa adalah jalan kedamaian dan ketenangan ku. Alhamdulillah, sungguh tak pernah ku jemu mengucapkannya, sesungguhnya Ketenangan yang ku perolehi. Jiwa, dan ragaku lapang sekali bila datang bertasbih dan bersujud kepadaNYA. Beberapa surah Al-Qu'ran dan Hadith dibawah ku himpunkan untuk menjadi pendorong dan kekuatan ku dalam mencari keredaanNYA agar takut/bertakwa kepada si Maha Pencipta selain meminta petunjuk dari-Nya yang Maha Mengetahui.

1) Bersabar dengan segala yang menimpa. " Wahai anakku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakuklan perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas segala yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang diketahui melakukannya. " (Luqman : 17)

2) Anggap masalah itu sebagai satu ujian, yang akan meningkatkan keimanan dan ketabahan. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud : " Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cabaran?) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang benar-benar nya beriman, dan nya nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta." (Al-Ankabuut : 2-3)

3) Setiap masalah ada hikmahnya, seperti dapat mengugurkan dosa. Nabi s.a.w bersabda, maksudnya : " Tidaklah orang Muslim ditimpa penyakit, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya, seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

4) Kesulitan, masalah dan kesempitan akan menyedarkan manusia betapa kerdilnya diri sebagai hamba, sekaligus menyedarkan diri akan keagungan dan kekuasaan Allah. "Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali". (al-Baqarah : 156)

5) Ujian adalah tanda Allah mencintai seseorang itu. Nabi s.a.w bersabda, maksudnya : "Sesiapa dikehendaki Allah baginya, akan diberikan cubaan kepadanya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sesungguhnya ku sedar bahawa masalah dan kesulitan yang kuhadapi lebih ringan dan lebih kecil daripada masalah yang dialami orang lain. Menyedari hakikat, kehidupan tidak lari daripada masalah, cuma bezanya kecil atau besar masalah yang dihadapi, kerana setiap masalah, kesakitan dan kesusahan, membolehkan aku membezakan di antara keselesaan (nikmat) dan kesengsaraan (bala). Jesteru, ketika inilah aku dapat menjiwai erti kesyukuran ..wassalam..

hamba Allah