~ Segala yang Tertulis Dalam Blog Ini Adalah "Transparent Diary" & Hak Peribadi ~

~ Andai Kemewahan Dunia melalaikanku, ku lebih rela hidup kedaifan, tapi kaya dengan Rahmat dan CintaMU, Andai Kenikmatan Dunia menghanyutkanku, ku lebih rela hidup bersendirian, menjadi Hamba AbadiMU. Sesungguhnya nikmat dunia hanya sementara, kerana akhirnya kepadaMU juga kami kembali. Yang tinggal hanya jasad ditelan tanah bumi. Sebagai insan biasa mohon petunjuk pada Yang Maha Kuasa, Maha Pencipta Alam Semesta, agar sentiasa lurus iman dan aQidah ku, teguh agama dan peganganku ~FBK






Apabila tenggelam sang mentari, maka tabir malam pun menyelubungi. Dan saat ini lah untukku merehatkan tubuh badan dan minda.Malam menjadi bertambah indah dengan rembulan tersenyum serta taburan jutaan bintang di langit. Malam bertambah syahadu dan zikir sang unggas dan mergastua bertasbih memuji Ilahi. Sebagaimana siang dan malam berlalu menggamit hadirnya siang, sebagaimana siang dan malam silih berganti, maka begitu jugalah bersilih gantinya tidur dan jaga. Dan malam ini juga lah khusyuknya diri ku untuk sujud dan bertasbih pada-MU yang Maha Ehsa.

Sungguh, semua yang Allah S.W.T cipta ini tidak ada yang sia-sia. Ada 1001 pengajaran dan hikmahnya. Pengajaran yang patut diambil para salikin untuk perjalanan yang masih jauh. Malam ini dikamar tidur, aku merenung dalam-dalam diri yang alpha ini. Maha kerdilnya diri aku ini ya Tuhan. Sesungguhnya aku sedar bahawasanya tidak perlu untuk ku berbangga-bangga dengan "title" sebaik-baik ciptaan Allah S.W.T, sedangkan amat ketara dan sungguh memalukan apabila zikirku pada-MU amat sedikit berbanding kemeriahan zikir sang unggas dan mergastua yang tidak jemu-jemu sahut-menyahut memuji-MU.

Rasulullah mengumpamakan tidur itu umpama sebagai "mati kecil". Kerana itulah agaknya kenapa kita disunatkan berwuduk, berzikir, beristighfar, memaafkan kesalahan orang dan berwasiat sebelum tidur. Manalah tahu, andai ini tidur kita pada malam itu juga adalah tidur yang terakhir. Tidur yang penghabisan. Berapa banyak yang telah berlaku? Berapa banyak warga bumi dunia yang berangkat semasa tidurnya? Pergi menghadap Ilahi membawa diri yang lalai daripada Allah S.W.T, diri yang berlumuran dosa dan dada yang penuh dengan dendam kesumat sesama manusia.

Petikan di bawah ini ku ambil dari sebuah buku Bawa Hatimu Kepada Tuhan, seakan memberi kesedaranku bahawa hidup ini hanya sementara cuma, agar terus beringat dan berjaga, biar terus sentiasa takut dan bertakwa pada yang Maha Pencipta Semesta Alam :

".....Wahai anakku, kalau engkau meragui benarnya mati itu, maka janganlah kamu tidur. (Namun) Sepertimana engkau akan tertidur (jiga akhirnya kerana terlalu mengantuk), maka demikian jugalah dengan kematian. Dan apabila engkau meragui benar hari kebangkitan, maka janganlah (sekali-kali) engkau akan cuba bangun daripada tidurmu (namun nescaya engkau akan terjaga juga daripada tidurmu), maka demikianlah juga dengan hari kebangkitan. Kamu akan dibangkitkan selepas kematianmu....."

Ya Allah ya Tuhanku, jika tidurku ini tidur yang penghabisan, maka ampunkanlah segala dosaku, maafkan segala kesalahanku dan redhalah pada diriku.

Ya Allah, sekiranya aku menyembah-Mu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka. Sekiranya aku menyembah-Mu kerana mengharapkan syurga, campakkanlah aku dari syurga. Namun sekiranya aku menyembah-Mu semata-mata demi-Mu, janganlah Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajah-Mu yang abadi kepadaku.(Doa Rabiatul Adawiyah)


Rabbi ghfirli warhamni wajburni warfa'ni warzuqni wahdini wa'afini wa'fu'anni.

Rabbana taqabal du'a-ana innaka antas-sami'ul alim. Watub'alaina innaka antat-tauwa-burrahim. Subhana rabbika rabbil 'izziti' 'amma yasifun, wasalamun 'alal mursalina walhamdu lillahi rabbil'alamin....amin yarabi'alamin......wassalam