~ Segala yang Tertulis Dalam Blog Ini Adalah "Transparent Diary" & Hak Peribadi ~

~ Andai Kemewahan Dunia melalaikanku, ku lebih rela hidup kedaifan, tapi kaya dengan Rahmat dan CintaMU, Andai Kenikmatan Dunia menghanyutkanku, ku lebih rela hidup bersendirian, menjadi Hamba AbadiMU. Sesungguhnya nikmat dunia hanya sementara, kerana akhirnya kepadaMU juga kami kembali. Yang tinggal hanya jasad ditelan tanah bumi. Sebagai insan biasa mohon petunjuk pada Yang Maha Kuasa, Maha Pencipta Alam Semesta, agar sentiasa lurus iman dan aQidah ku, teguh agama dan peganganku ~FBK






Cinta itu bermula dari Hati. Andai Hati itu ikhlas, cinta yang terzahir akan terbina dengan penuh kasih sayang dan ketulusan. Menyintai bukan kerana seseorang itu terlalu sempurna, dan bila ada kalanya kita rela mengorbankan kehidupan dan cita2, tetapi bila hati kecil merasa, bersama seseorang itu akan lahir kehidupan baru dan cita2 baru yang lebih mulia dan mententeramkan jiwa berlandaskan Keredahaan Ilahi.

Menjadi seorang pencinta muslim masa kini dalam menjalani kehidupan harian berlandaskan tuntutan ajaran Islam penuh dengan cabaran dan dugaan. Seorang Mujahid Cinta harus memandu perjuangan ini dalam rasa saling mencintai sesama insan agar sama-sama menuju keagungan Ilahi.

Hadith Qudsi yang ku petik memang menyentuh hati kecil ku yang berbunyi:

"Orang-orang yang saling berkasih sayang kerana keagungan-KU akan berada dalam naungan bayang Arsy-Ku pada hari di mana tidak ada naungan, kecuali naungan-KU"(HR.Ahmad dan Thabrani)

Nilai yang dikutip dari hadith tersebut adalah keupayaan kita menarik antara satu sama lain daripada dosa sehingga semuanya menuju jalan Ilahi. Itu terjadi daripada saling mencintai sesama manusia kerana keagungan Allah S.W.T..InsyaAllah....

Di sini ku cuba kongsikan sebuah cerita Mujahid Cinta si Gadis yang ditulis oleh seorang hamba Allah "Nur Syamimi Mohamad Napis siswi ilmu Cell and Molecular Bioscience di Victoria University of Wellington, New Zealand"

"........Seorang gadis tinggal di sebuah pekan kecil. Zaman kehidupannya bukanlah di saat Islam sedang memuncak naik menjadi Daulah Islamiyah. Tetapi dia yakin, Daulah Islamiyah itu kelak pasti akan tercapai. Dia gemar membaca sirah tentang tokoh-tokoh sahabiah yang agung nama mereka dulu, kini dan selamanya.

Zaman kehidupannya penuh dengan jahiliyyah yang menguasai setiap ruang lingkup atmosfera. Alhamdulillah katanya, kerana Allah SWT masih mahu menyinari hidup dan dirinya dengan sedikit cahaya Islam. Dengan cahaya itu dia menilai baik dan buruk. Sudah tentu, ianya bukanlah mudah.

Rabiatul Adawiyah sumber inspirasinya. Wanita suci yang mengabdikan diri sehari-hari untuk beribadat kepada Allah. Seorang gadis yang sangat menjadikan Rabiatul Adawiyah sebagai idolanya, kadang-kadang dia tersilap langkah juga. Bukan senang mahu menjadi seperti Rabiatul Adawiyah, tambahan pula dengan kehidupan dunia kini. Tak mengapalah wahai Si Gadis, menjadi seorang yang perfect seperti Rabiatul Adawiyah, kamu mungkin tak mampu, paling tidak, kamu berusaha bersungguh-sungguh mencontohi beliau. Seorang yang sangat menjaga maruah diri sehinggakan kehidupan dunia bukanlah yang diingini.

Gadis ini suka akan doa Rabiatul Adawiyah yang ini.

"Ya Allah, sekiranya aku menyembah-Mu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka. Sekiranya aku menyembah-Mu kerana mengharapkan syurga, campakkanlah aku dari syurga. Namun sekiranya aku menyembah-Mu semata-mata demi-Mu, janganlah Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajah-Mu yang abadi kepadaku."

Dia hanyalah seorang gadis biasa. Suatu hari yang penuh berkat, muncul satu kunjungan untuk keluarga Si Gadis. Kunjungan luar biasa yang pastinya membincangkan isu masa depan Si Gadis dan Sang Teruna. Perbincangan yang pastinya menuju kepada sebuah pelayaran bahtera Baitul Muslim. Itu lah agendanya.

Dia terfikir, bagaimana mahu jadi seperti Rabiatul Adawiyah kalau begini keadaannya? Namun, menolak kepada sebuah perkahwinan bukanlah apa yang Si Gadis merasakan suatu yang betul.

Paling tidak, dia mahu menjadi seperti wanita yang menarik kuda Fatimah (anak Rasulullah SAW) untuk memasuki syurga. Wanita itulah yang pertama memasuki syurga! Sungguh hebat pengabdian wanita tersebut kepada keluarganya terutamanya kepada suami nya. Hebat-hebat kisah sahabiah yang ada! Si Gadis sungguh terinspirasi! Kerana sesungguhnya menjadi tujuan setiap manusia untuk menuju ke syurga-Nya yang abadi.

Kata-kata Zainab Al-Ghazali, "...Hidup ini terlalu singkat untuk menjadi orang biasa...". Perlu jadi yang luar biasa untuk mendapat tempat yang luar biasa di akhirat kelak!

Si Gadis pernah terbaca tentang satu hadis.

"Bila telah datang (untuk melamar) kepada kalian seorang lelaki yang kalian redhai agama dan perangainya (akhlaknya), maka nikahkanlah dia, bila kalian tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang bermaharajalela." (Riwayat At Tirmizy, Sa'id bin Mansur, At Thabrani, Al Baihaqi dan dihasankan oleh Al Albani)"

Masakan perlu ditolak kerana kejayaan mendirikan sebuah Daulah Islamiyah juga berasaskan dengan tertubuhnya sebuah Baitul Muslim. Baitul Muslim tidak akan berjaya tanpa adanya 2 individu yang benar-benar ingin menerapkan Islam ke dalam diri mereka, sekaligus berusaha untuk mengembangbiakkan Islam dalam masyarakat. Menolak lamaran daripada seorang yang soleh bukanlah apa yang Si Gadis mahukan.

Pertemuan 2 buah keluarga sedikit sebanyak telah melegakan Si Gadis. Kerana dia tidak mahu berkawan dengan lelaki yang sebarangan. Berkawan yang tidak tentu hala yang akhirnya tak tahu apa tujuannya.

Namun dia sedar pertemuan ini, kalaulah pun mendapat 'restu' untuk berkawan daripada ibu bapa kedua-dua belah pihak, bukanlah satu tiket untuk mereka berhubung tanpa ada tujuan yang membenarkan.

Perjalanan masih jauh. Tiada apa yang Si Gadis sepertinya dapat berharap, hanya agar Allah SWT memudahkan setiap cabang perjalanan hidupnya........"

Dari pengamatan cerita di atas yang dapat ku pelajari adalah, seorang Mujahid Cinta harus memiliki sikap Qan'aah dan Redha :

Pertama, ikhlas dan menerima apa adanya. Tidak pernah keluh, kesah atau merungut.

Kedua, memohon kepada Allah S.W.T tambahan rezeki untuknya dengan diiringi usaha doa, dan sabar.

Ketiga, menerima dengan tabah segala ketentuan Allah S.W.T atas segala yang telah diusahakan .

Keempat, bertawakal kepada Allah S.W.T.

Kelima, tidak tertarik dan menjauhi segala tipu daya dunia yang bersifat berlebihan.

Pengertian seorang Mujahid Cinta adalah perjuangan ataupun jihad cinta dan cinta sesama insan kerana cinta kita kepada Allah S.W.T . Indah dan sucinya cinta itu andai fisabilliah cinta sesama kita kerana cintanya kita kepada yang Maha Ehsa dengan berserah sepenuh kepada ketentuan dan keredhaaNYA. InsyaAllah, moga terus mendapat keredhaanNYA, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui . Berjihad demi cinta harus berani berjuang dan berkorban demi yang dicintainya, mahupun cinta sesama umah dan insaniah. Sikap saling sayang menyayangi sesama muslim menjadi jambatan untuk menyedarkan kita dan hal ini harus dilaksanakan oleh seorang Mujahid Cinta agar jihadnya berhasil, apabila dapat menyelamatkan manusia dari virus cinta ditaman-taman fatamorgana cinta yang penuh noda. Dan salinglah mengeratkan dan menjaga silaturahim kerana sesungguhnya silaturahim itu yang akan membuka pintu-pintu hidayah untuk kembali hidup dan berjalan di jalan yang diredhai Allah. Hadith berbunyi "Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim."(Muttafaqun'alahi) InsyaAllah......wassalam..