~ Segala yang Tertulis Dalam Blog Ini Adalah "Transparent Diary" & Hak Peribadi ~

~ Andai Kemewahan Dunia melalaikanku, ku lebih rela hidup kedaifan, tapi kaya dengan Rahmat dan CintaMU, Andai Kenikmatan Dunia menghanyutkanku, ku lebih rela hidup bersendirian, menjadi Hamba AbadiMU. Sesungguhnya nikmat dunia hanya sementara, kerana akhirnya kepadaMU juga kami kembali. Yang tinggal hanya jasad ditelan tanah bumi. Sebagai insan biasa mohon petunjuk pada Yang Maha Kuasa, Maha Pencipta Alam Semesta, agar sentiasa lurus iman dan aQidah ku, teguh agama dan peganganku ~FBK






Disaat aku telah temui jalan dan arah tujuan dan disaat aku yakin dengan pilihan kehidupan yang diinginkan, Allah seperti telah merencanakan sesuatu yang indah untuk ku.

Bila suatu ketika dulu hati kecil ku berdetik dengan lagu Maher Zain "For The Rest of My Life" yang membuat Islam itu indah dimataku, walau ketika itu tak ku kenali apa ertinya Islam. Ku hayati lirik lagu nya, disitu lah timbul rasa keinginan ku untuk menjalani kehidupan seorang Muslim. Lirik lagu itu begitu indah sekali, sememangnya dicintai dan mencintai seperti dalam lirik lagu itu adalah satu kehidupan yang begitu indah yang tak dapat aku huraikan dengan kata-kata.

Dalam aku menghayatinya, beberapa bulan selepas itu, Allah seperti telah merancang sesuatu untukku terus mendekatkan diri kepada Yang Maha Mengetahui(Al-Alim), Yang Memberi Petunjuk(Al-Hadi). Tanpa aku sedari Allah telah menghantar seorang hambaNYA ke dalam kehidupan ku. "Ya Allah ya Tuhanku adakah insan ini orang nya?" Hati kecilku berdetik bila persahabatan telah bertukar kepada percintaan tanpa aku sendiri juga tidak menyedarinya. Dan disitulah baru ku kenali apa erti cinta yang sebenar. Cinta yang terlalu berharga hanya ketulusan, kesungguhan hati mencintai dan dicintai membuat aku semakin hari jatuh cinta dengan kehidupan seorang Muslim dan itu yang membuat aku semakin dekat dengan Sang Pencipta.

Semakin aku menghayati dan terus mendalami Pengajian Islam dihati ku, semakin itu ketenangan dan damai nya hati, jiwa dan raga yang tak pernah aku miliki sebelum ini. Sebelum ini aku rasa lengkap dengan segala-galanya, tetapi aku lalai dengan segala kemewahan dan leka dengan segala kenikmatan duniawi sehingga aku sedar betapa kosongnya jiwaku walau ada cinta dihatiku. Akhirnya suatu saat, ku telah memutuskan untuk memeluk agama Islam sebagai pegangan agamaku dan aQidah diriku..Alhamdulillah...

Baru beberapa bulan aku menjalani kehidupan seorang Muallaf, adalah tidak terlalu cepat untuk ku mengatakan, " Ya! Ini lah kehidupan yang sebati dengan jiwaku. " Sujud, bertasbih, menunaikan perintah Pada Yang Maha Esha dan menjalani kehidupan mengikut syariatNya, adalah ibadah yang mendamaikanku. Ya Allah, Ya Tuhanku, hanya Allah yang Mengerti betapa rindunya aku ingin sentiasa datang sujud dan berdoa kepadaNYA tanpa ada rasa lelah ku bersujud kepadaNYA. Ya Allah, ku sentiasa mohon petunjukMU agar aku sentiasa terpimpin dalam mencari keredhaanMU...

Dan kini, aku pasrah dan redha dengan ketentuan Ilahi bila aku terpaksa mengalah mengundur diri dalam cinta, walau tanpaku rela bila terpaksa akur dengan kehendak dan pilihan keluarga adalah pengorbanan cinta yang harus kami redhai demi mengelak diri menjadi anak yang derhaka yang mementingkan diri sendiri. Siapakah aku untuk mempersoalkan dan mempertikaikan ketentuan Ilahi? Aku hanya hambaNYA yang harus redha dan bertawakal dengan setiap rencanaNYA. Bukankah itu yang dituntut dalam syariatNYA. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.

Suatu ketika dulu aku pernah menginginkan kehidupan sebagai seorang Muslim, dan suatu saat Allah hantarkan dia ke dalam kehidupan ku dan cintanya membuatku yakin dengan kehidupan seorang Muslim sehingga aku berniat untuk menjalani kehidupan seorang Muslim. Dan kini alhamdulillah, ibadah dan kehidupan yang mengikut rukun-rukun dan syariatNYA benar-benar sesuai dengan jiwaku.

Kini aku sedari, bila berkasih sayang hanya kerana kasih Allah adalah sesuatu yang agung bagiku, kerana hadith ada mengatakan "Orang-orang yang saling berkasih sayang kerana keagunganKu, akan berada di naungan bayangan AsryKu, pada hari di mana tiada naungan selain naunganKu (Hadith Riwayat Ahmad dan Thabrani)

Yang pasti, aku percaya ini adalah satu ujian yang Allah telah rencanakan buat ku. Tetapi cintanya telah menjadikan di mana aku berada sekarang. Ya Allah ya Tuhanku, KAU limpahilah rahmatMU buat hambaMU itu, kerana dia telah membuat aku semakin hari semakin jatuh cinta denganMU, semakin hari semakin rindu untuk beribadah kepadaMU dan kerananya juga ku telah kenali diri sebenar dan kehidupan yang sesuai dengan jiwa dan ragaku..ahamdulillah... amin yarabi'alamin..

Ujian adalah tanda Allah mencintai seseorang itu. Nabi s.a.w bersabda, maksudnya " Sesiapa dikehendaki Allah baginya kebaikan, akan diberikan cubaan kepadanya" (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Ingin sekali aku menjadi seperti Rabiatul Adawiyah yang hanya menghambakan diri nya pada Cinta Ilahi tanpa memandang cinta duniawi. Tetapi, betapa kerdil dan daif nya aku sebagai insan biasa yang sememangnya tidak setanding dia. Biar lah kekal begini buat masa ini, dan inilah saaatnya untuk ku lebih mendalami Ilmu Islam di Institut Dakwah Islamiah PERKIM sambil terus mendekatkan diri pada Yang Maha Pencipta..InsyaAllah andai ada rezeki dan saat itu telah tiba, aku tak boleh mengelakkannya juga suatu hari nanti. Biarlah segala-galanya datang, memilih dan dipilih dari dan kerana Kasih Allah.

Sesungguhnya aku amat teruji tetapi ini lah yang membezakan aku sekarang, aku redha dengan ketentuanNYA yang pasti jiwa ku tenang menerima hakikat ini walaupun hanya Allah yang tahu segala yang tersirat, kerana ku tahu Allah telah mengkehendaki begitu......